12/11/2026
𝗕𝗔𝗛𝗔𝗦𝗔 𝗞𝗜𝗧𝗔, 𝗜𝗠𝗘𝗝 𝗞𝗜𝗧𝗔: 𝗞𝗘𝗡𝗔𝗟𝗜 𝗦𝗜𝗔𝗣𝗔 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗞𝗜𝗧𝗔 𝗦𝗘𝗗𝗔𝗡𝗚 𝗕𝗘𝗥𝗞𝗢𝗠𝗨𝗡𝗜𝗞𝗔𝗦𝗜
Dalam pemasaran hartanah, kita selalu beri perhatian kepada gambar rumah, harga, lokasi dan kelebihan sesuatu hartanah.
Tapi ada satu perkara yang kadang-kadang kita terlepas pandang iaitu cara kita menyampaikan mesej kepada bakal pembeli.
Bahasa yang kita gunakan sebenarnya memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi seseorang terhadap kita sebagai perunding hartanah.
Bukan bermaksud kita perlu sentiasa menggunakan bahasa yang terlalu formal atau berbunga-bunga. Gaya santai, mesra dan bersahaja memang ada tempatnya dalam pemasaran.
Kita perlu tahu bahawa setiap segmen pembeli mempunyai kecenderungan dan jangkaan komunikasi yang berbeza.
Contohnya, apabila kita memasarkan rumah dalam lingkungan RM150k hingga RM250k, pendekatan santai seperti sedang berbual dengan kawan mungkin lebih mudah menarik perhatian sesetengah pembeli.
Tetapi apabila kita bercakap tentang hartanah bernilai RM500k, RM700k atau lebih tinggi, kita juga perlu mengambil kira imej dan tahap profesionalisme yang ingin kita tonjolkan.
Pembeli dalam segmen ini mungkin lebih selesa dengan komunikasi yang matang, kemas dan menghormati ruang mereka sebagai pembeli.
Mereka sudah mempunyai pertimbangan sendiri, tahu apa yang dicari dan tidak semestinya memerlukan pendekatan yang terlalu mendesak atau seolah-olah kita sedang mengajar mereka membuat keputusan.
Ini bukan soal formal atau tidak formal semata-mata. Ini soal membaca audiens.
Kita perlu ingat, iklan bukan sekadar bertujuan mendapatkan pertanyaan.
Iklan juga merupakan gambaran awal tentang siapa kita, bagaimana kita bekerja dan sejauh mana kita menghargai pelanggan.
Sebagai perunding hartanah, kemahiran kita bukan hanya terletak pada kebolehan menjual rumah. Kita juga perlu tahu menyesuaikan cara komunikasi mengikut jenis hartanah, sasaran pasaran dan profil pelanggan.
Santai itu boleh. Mesra itu perlu tetapi profesionalisme jangan ditinggalkan kerana akhirnya, bukan semua orang membeli rumah dengan cara yang sama.
Juga bukan semua orang selesa didekati dengan cara yang sama.