16/09/2026
Brisk Walk Hari Malaysia 2026 yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Batu Kawan
Program Brisk Walk Hari Malaysia 2026 anjuran Lajnah Sukan & Kebudayaan PAS Kawasan Batu Kawan telah berlangsung dengan meriah di sekitar Aspen City/Aspen Park, Batu Kawan, dengan anggaran penyertaan sekitar 150 orang.
Program dimulakan dengan Konvoi ARC dari Pondok Turath Juru menuju ke lokasi program yang diketuai oleh ARC PAS Kawasan Batu Kawan. Setibanya di lokasi, para peserta mengikuti sesi regangan dan pemanasan badan yang dikendalikan oleh Lajnah Sukan dan Rekreasi PAS Kawasan Batu Kawan di bawah pimpinan Saudara Aziz.
Aktiviti utama diteruskan dengan Brisk Walk sejauh kira-kira 1.5 km di Aspen Park, yang disertai dalam suasana santai, ceria dan penuh semangat kebersamaan. Seusai aktiviti, peserta menerima taujihat, nasihat serta pedoman daripada YDP PAS Kawasan Batu Kawan merangkap Ketua Ulama PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Tajudin.
Program turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah serta penyampaian cenderahati kepada cawangan yang mencatatkan penyertaan ahli paling ramai. Majlis kemudiannya diakhiri dengan sarapan santai yang disediakan oleh PAS Cawangan Bukit Minyak, sekali gus memberi ruang kepada para peserta untuk beramah mesra dan mengeratkan hubungan sesama mereka.
Objektif Program
1. Menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif melalui aktiviti riadah.
2. Mengeratkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan ahli serta peserta.
3. Membina semangat kebersamaan, kerjasama dan kekeluargaan antara cawangan.
4. Memberi ruang interaksi secara santai antara kepimpinan, ahli dan masyarakat.
5. Memupuk kesedaran bahawa aktiviti kemasyarakatan dan riadah boleh menjadi medium untuk membina komuniti yang sihat, harmoni dan saling bekerjasama.
Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh jawatankuasa penganjur, ARC PAS Kawasan Batu Kawan, Lajnah Sukan dan Rekreasi, PAS Cawangan Bukit Minyak, kepimpinan kawasan, semua cawangan serta para peserta yang telah menjayakan program ini. Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan perjalanan program berlangsung dengan lancar.
Semoga ukhuwah yang terjalin terus diperkukuhkan dan program-program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.