11/10/2026
309 CEDERA DALAM SATU SERANGAN. BAGAIMANA HOSPITAL MENGURUSKAN MANGSA SERAMAI INI?
Serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh pada 10 Oktober 2026 telah mengorbankan sekurang-kurangnya 12 nyawa dan mencederakan 309 orang.
Mangsa dibawa ke hospital menggunakan ambulans dan helikopter. Ada yang mengalami kecederaan kritikal.
Bayangkan situasi di Jabatan Kecemasan.
Ambulans tiba silih berganti. Ada mangsa mengalami pendarahan serius, ada yang s**ar bernafas, ada yang masih mampu berjalan walaupun cedera.
Siapa yang perlu dirawat dahulu?
Dalam situasi seperti ini, hospital menggunakan pendekatan Mass Casualty Incident (MCI), iaitu pengurusan kecemasan apabila jumlah mangsa melebihi kemampuan perkhidmatan biasa.
Petugas kesihatan tidak semestinya merawat berdasarkan siapa yang tiba dahulu.
Sebaliknya, mangsa dinilai melalui proses yang dikenali sebagai TRIAGE.
Secara ringkas:
* MERAH: Keadaan kritikal. Memerlukan rawatan menyelamatkan nyawa dengan segera.
* KUNING: Kecederaan serius tetapi boleh menunggu sementara dengan pemantauan.
* HIJAU: Kecederaan ringan dan boleh menunggu lebih lama.
Dalam sesetengah sistem triage bencana, terdapat juga kategori hitam bagi mangsa yang telah meninggal dunia atau mempunyai peluang hidup yang amat rendah dalam keadaan sumber terhad.
Pada masa yang sama, hospital mungkin perlu mengaktifkan pelan bencana, menambah kapasiti katil, menyediakan dewan bedah, bekalan darah dan menggerakkan lebih ramai anggota.
Ini bukan tugas doktor semata-mata.
Jururawat, penolong pegawai perubatan, pakar bius, pakar bedah, petugas makmal, bank darah, radiologi, ambulans dan pas**an sokongan memainkan peranan penting.
Dalam bencana besar, keputusan perlu dibuat dengan pantas. Setiap minit boleh menentukan peluang seseorang untuk terus hidup.
Apa yang berlaku di Riyadh mengingatkan kita bahawa kesiapsiagaan hospital bukan hanya penting ketika peperangan.
Kemalangan bas, kebakaran besar, runtuhan bangunan dan bencana alam juga boleh menyebabkan kejadian mangsa ramai.
Kita mungkin tidak tahu bila bencana akan berlaku. Tetapi sistem kesihatan perlu sentiasa bersedia.
Takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. Semoga mereka yang cedera diberikan kesembuhan, dan semua petugas penyelamat terus dilindungi.
Public Health Malaysia